Ajaran Sesat  

Posted by lakaransakinah in


Di Antara Ajaran Ayah Pin:
Tuhan adalah manusia
Tidak perlu percaya kepada Rasulullah S.A.W. kerana Rasulullah adalah manusia dan kita boleh mengatasinya dengan berzikir.
Berzikir lebih afdal dari sembahyang lima waktu dan jika seseorang itu telah ilham, zuk, kasyaf, sembahyang lima waktu digugurkan.
Syurga adalah terhad kepada pengikutnya sahaja dan kunci syurga hanya ada pada tangan beliau sahaja (Ariffin bin Mohamad). Adapun orang lain adalah seperti babi belaka iaitu kotor.
Sembahyang lima waktu tidak wajib.
Guru ajaran ini berada di mana sahaja makhluk berada.
Pernah mendakwa dirinya Tuhan.
Cuma dirinya sahaja berkuasa melantik dari kalangan muridnya bagi menyandang gelaran wali Allah serta menentukan darjatnya.
Pengikut jika hendak sembahyang, berzikir mestilah dahulu ingat dan menggambarkan wajah guru sebelum mengingati Allah.
Mendakwa dirinya diresapi roh nabi dan sampai waktunya nanti dia akan bertukar menjadi Imam Mahadi.
Pengikut mesti mengorbankan harta benda bila diperlukan olehnya.
Mendakwa dirinya sudah mikraj ke langit dan duduk di atas Arasy.
Mendakwa ada menerima satu senarai dari Tuhan nama-nama pengikutnya.
Tidak sah sembahyang beriman orang lain kerana mertabatnya lebih tinggi dari orang lain.
Mendakwa diri akan menjadi Perdana Menteri di akhirat nanti.
Rukun Islam dan hukum-hukum syarak seperti puasa, zakat dan lain-lain itu tidak kena mengena dengan Tuhan.
Pergi ke Mekah mengerjakan Haji adalah sia-sia sahaja.
Waktu Sembahyang Subuh berpanjangan hingga masuk Zuhur.
Kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikan alam kemudian dimusnahkan.
Seorang anak Adam apabila hampir hendak mati, Allah datang bersalaman dengannya dan tidak payah lagi mengajar mengucap kepadanya.
Kalau seseorang itu hendak jadi Islam kenalah jadi kafir dahulu.
Al Quran yang ada sekarang adalah tidak benar.
Semua alim ulamak, tok guru sekarang penipu kerana menyembunyikan ilmu yang sebenar.
Sembahyang Jumaat tidak wajib.
Ayah Pinlah satu-satunya orang yang boleh membawa Islam yang sebenar sebagaimana zaman Rasulullah S.A.W.
Kenapa Ajaran Ayah Pin (Ariffin Bin Mohamad) Difatwakan Sesat?

Fatwa mengenai ajaran Ariffin bin Mohamad telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dalam mesyuaratnya pada 4 Disember 1997. Dalam warta Jil. 50 No. 25 menyatakan:

Bahawasanya ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.
Oleh yang demikian orang ramai di negeri ini hendaklah menghindar diri daripada terlibat dengan pegangan dan ajaran Ayah Pin.
“ Dan hendaklah ada di antara kamu suatu ummah (golongan) yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat ma'aruf dan mencegah perkara mungkar. Mereka itulah yang beroleh kemenangan. "- Surah Ali-Imran : 104

Kegiatan Ajaran Sesat Ayah Pin

Ariffin bin Mohamad atau gelaran ahlinya sebagai Tok Ayah adalah seorang ketua kumpulan Ajaran Ratib Kuat yang mula bertapak di Batu 13 ½, Mukim Tenang, Hulu Besut, Terengganu sehinggalah sekarang. Beliau adalah salah seorang murid pengamal ajaran sesat Hassan Anak Rimau yang memperkenalkan ajaran ratib ini pada tahun 1975. Ariffin bin Mohamad mula memimpin ajaran ratib kuat setelah kematian gurunya dengan dikenali sebagai Ajaran Ayah Pin.
Ajaran beliau telah menular ke seluruh negara sehinggalah kini telah mendapat tempat di beberapa negeri iaitu di sekitar Lembah Kelang, Selangor, Perak, Pahang dan Johor. Sebelum ini ajaran Ariffin bin Mohamad telah mempengaruhi beberapa penduduk di Daerah Gua Musang, Kelantan khususnya di perkampungan Orang Asli, Felda Ciku 5,6 dan 8. Sebahagian pengikut adalah terdiri dari mereka yang dianggap golongan profesional seperti peguam dan ahli perniagaan terutama yang datang dari luar negeri Terengganu dan Kelantan.
Pada bulan September 1998, Ariffin bin Mohamad bersama 4 orang isterinya telah membuat pengistiharaan “keluar dari Islam” di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan alasan supaya Pejabat Agama tiada hak dan kuasa untuk menyiasat “Orang yang sudah keluar dari Agama Islam dan salinan surat ini dihantar kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Pada 27 Jun 2001 Ariffin bin Mohamad telah didakwa di bawah Seksyen 209 (2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Terengganu 1986 iaitu menghina Agama Islam dengan mengaku secara lisan dia bukan Islam dan dihukum penjara 11 bulan dan denda Rm2900.00 dan beliau ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
Pada 1 Julai 2004, Di Kuil Batu Caves, Selangor, Ariffin bin Mohamad telah melakukan upacara keagamaan Hindu bersama 20 orang pengikut dan juga isteri ketiganya.
Pada 23.5.2004 Ariffin pergi ke Bali, Indonesia dan dijemput ke sebuah Kuil Hindu di mana Ariffin mengistiharkan bahawa “agama ini akulah yang cipta”.
Pada 23.2.2005 (Pada hari Raya Aidil Adha) di batu 13, Hulu Besut, sekumpulan Paderi Kristian serta pasukan koir gereja Sri Kembangan, Selangor telah membuat bacaan doa dan menyampaikan lagu-lagu gereja bersama kira-kira 200 pengikut Ariffin bin Mohamad.
Pengakuan Bekas Pengikut Ajaran Ayah Pin

MAY 25, 2005

Penganut ajaran Ayah Pin, kembalilah ke pangkal jalan.

Saya sebagai seorang bekas pelajar ajaran Ayah Pin merasa terpanggil untuk memperjelaskan tentang ajarannya yang telah memesongkan saya selama tiga tahun sebelum ini.

Saya telah memasuki ajaran Ayah Pin melalui kawan karib saya iaitu anak lelakinya yang glamour dengan panggilan Lepat yang satu masa dulu pernah menjadi tajuk berita apabila anaknya dibawa lari ke England oleh bekas isterinya.

Saya adalah seorang yang selama ini jauh daripada Allah, oleh itu saya ingin mendekati-Nya setelah banyak berdosa. Inilah yang membuatkan saya boleh memasuki ajaran Ayah Pin yang saya fikir dapat menenangkan jiwa kosong saya.

Tetapi lama kelamaan, saya menjadi keliru kerana sepanjang berada dalam pengajian Ayah Pin, dia menyeru para pengikutnya agar tidak menunaikan sembahyang kerana menurutnya bagaimana kita mahu sembahyang sedangkan kita belum lagi mengenal Allah.

Tambahan pula, dalam majlis-majlis pengajiannya, percampuran di antara lelaki dan perempuan berleluasa dan saya pernah terserempak Ayah Pin melakukan zina dengan isteri Rosly Abdul Samad (orang paling rapat dengannya) dan saya terus melaporkan perkara terkutuk itu kepada Rosly.

Malangnya Rosly dengan selambanya menjawab bahawa dia meredakan persetubuhan haram Ayah Pin dengan isterinya kerana dia Cuma mengharapkan syafaat dari Ayah Pin. Saya amat keliru dengan kata-kata Rosly itu yang merupakan bekas pemian drum kumpulan muzik
Def Geb C.

Saya semakin keliru apabila Rosly memberitahu saya bahawa Ayah Pin adalah Imam Mahdi. Saya berfikir seorang diri bagaimana Ayah Pin boleh menjadi Imam Mahdi sedangkan dia bergelumang dengan perzinaan dan sering mabuk arak.

Satu peristiwa lagi yang telah menyedarkan saya hingga membuatkan saya meninggalkan ajaran karut Ayah Pin ketika saya mendapati Ayah Pin membina kekayaan peribadi melalui kutipan duit daripada kami semua mengikut ajarannya. Ayah Pin mengatakan bahawa beliau perlukan wang yang banyak untuk meneruskan perintah kerajaan langit untuk “menyedarkan semua insan” khususnya di malaysia dan amnya di dunia. Ayah Pin juga selalu menanamkan dalam minda kami bahawa dia akan menjadi perdana menteri tidak lama lagi dengan bantuan kerajaan langit.

p/s:Artikel ini hanya sebagai perkongsian bersama.

Wallahhualam

Menuntut Ilmu Alam Ghaib  

Posted by lakaransakinah in


Menuntut ilmu-ilmu tersebut adalah dilarang oleh agama kerana sebab-sebab berikut;

1. Ia membabitkan pemujaan kepada jin, maka akan membawa kepada syirik.
2. Ilmu-ilmu tersebut tiada sandaran dari al-Quran dan as-Sunnah, oleh ia adalah Bid'ah.
3. Ada di antara ilmu tersebut adalah sihir dan mempelajari sihir dan mengamalkannya adalah dosa besar dan adakalanya boleh membawa kepada kufur dan murtad.
4. Mengamalkan ilmu-ilmu tersebut (contohnya; pertapaan) akan membawa kepada meninggalkan ibadah-ibadah yang disyari'atkan; solat berjamaah, solat jumaat, menuntut ilmu agama dan sebagainya.
5. Ilmu-ilmu tersebut akan menimbulkan ghurur (tertipu dengan diri sendiri), takabbur dan ujub dalam diri pelajar dan pengamalnya.
6. Ilmu alam ghaib hanya Allah dan Rasul yang mengetahuinya. Oleh itu ia tidak boleh dipelajari melainkan dari al-Quran dan as-Sunnah kerana hanya kedua sumber itu sahaja yang dijamin benar oleh Allah. Sesiapa mendakwa ia mengetahui ilmu ghaib sedangkan ilmu yang didakwa ghaib itu tidak pernah pun di sebut oleh al-Quran atau as-Sunnah, ia sebenarnya adalah pendusta dan pendusta tidak harus diambil ilmu darinya.

Seorang muslim dan mukmin tidak perlu kepada ilmu-ilmu tersebut. Jika kita inginkan perlindungan dan kekuatan diri, cukup dengan kita tingkatkan ibadah kita dengan Allah; solat berjamaah, solat malam, solat dhuha, solat-solat sunat yang lain, puasa sunat, membaca al-Quran, menuntut ilmu dari alim ulamak, berzikir dengan zikir-zikir yang maktsur dan banyak lagi ibadah-ibadah lain yang dapat kita lakukan. Di dalam hadis Rasulullah -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Jagalah hubungan kamu dengan Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu" (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu 'Abbas -radhiyallahu 'anhu-). Menjaga hubungan dengan Allah ialah dengan kita menjaga iman kita, memelihara diri dari mensyirikkan Allah dan menjaga ibadah kita kepadaNya. Sebagai balasannya, Allah akan menjaga kita. Sesiapa yang dijaga Allah tiada siapa dapat memudaratkannya. Allah adalah sebaik-baik penjaga dan pelindung. Orang yang mencari penjagaan dan perlindungan dengan kuasa selain Allah, orang itu tidak kenal Allah, malah tidak kenal dirinya sendiri. Orang yang tidak kenal Allah dan tidak kenal diri, amat mudah ditipu oleh Iblis dan syaitan (sama ada syaitan di kalangan jib atau syaitan di kalangan manusia).

Wallahu a'lam.

Bagaimana Ilmu Agama DiTarik  

Posted by lakaransakinah in


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”(al-Bukhari)


Huraian
Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Istilah ulama pula digunakan pada orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mendalami ilmu agama. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja. Berbeza dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. Dengan perkataan lain golongan ulama’ semakin lama semakin pupus. Justeru dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka kerana kehidupan ini tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan dari para ulama’. Tetapi kenyataannya, ramai orang pada hari ini yang tidak memahami situasi tersebut sehingga mereka merasa mampu mengatur kehidupan dunia tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama. Bahkan ulama dianggap sebagai kelompok mereka yang tidak mengetahui situasi dan kondisi, tidak memahami perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata. Akibatnya timbul sikap menolak meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka dalam urusan pengaturan dunia. Justeru tidak hairan ada golongan manusia yang menjadikan orang-orang yang jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.